Monday, June 2, 2014

Edisi Tarbiyah : Perjalanan Menuju Kematian

Assalamualaikum


Saya baru sahaja selesai sesi penting . Jarang boleh bercakap dan berbincang. Moga perbualan singkat tersebut dapat membuka mata dan menyentuh hati yang mendengar tadi. Juga moga Allah jadikan dia seorang yang kuat dalam melawan ajakan nafsu yang sentiasa menguasai diri. Ameen Ya Rabb.


-------------------------------------------------------


Ok cukuplah, tak boleh intro panjang-panjang sangat, bukan orang faham pun. Hehe. Entry kali ni cuma nak kupas tentang satu perkara ringkas tapi ramai yang terlepas pandang, termasuk saya sendiri. Atau ramai yang tahu, tapi masih buat-buat 'innocent' dengan alasan manusia tak sempurna dan iman manusia berbolak-balik?


-------------------------------------------------------


Hidup ini sebenarnya perjalanan menuju kematian. Semakin jauh perjalanan, semakin bertambah umur, semakin laju masa berputar, semakin dekat kita dengan kematian. Jadi apa bekalan yang ingin kita bawa?



Kesakitan, kesusahan dalam kehidupan, cabaran, dugaan dalam menuju kebaikan..semuanya didatangkan Allah cuma sekejap. Ya mungkin, di dunia setahun menanggung sakit itu sudah cukup lama bagi kita. Tapi tetap tak terbanding dengan kehidupan kita di akhirat. Di akhirat perjalanan kita sangat panjang..sehinggakan ada manusia yang meminta kepada Allah dimasukkan sahaja ke neraka kerana tidak tahan menanggung seksanya menanti amalan dihisab. Mudah-mudahan perjalanan kita di alam akhirat dipermudahkan oleh Allah.



Jadi apalah sangat penat dan kesusahan kita sekarang.


--- Apalah sangat rasa terbeban dengan kerja yang menimbun kalau itu akan menjadi saham
akhirat kita kelak? 


--- Apalah sangat menanggung kesakitan kalau itu sebagai kafarah dosa supaya ketika amalan dihisab nanti beratnya di sebelah kanan. 


--- Apalah sangat dipandang hina di mata manusia kalau itu mampu menjadikan kita sentiasa tawadhuk kepada Allah atas sifat kehambaan.


--- Apalah sangat miskin di dunia sehingga sentiasa mengira untungnya menjadi manusia yang punya harta kalau miskin itu menjauhkan kita dari sifat riak, takbur dan sombong?



--- Apalah sangat menjadi pekerja biasa dan orang biasa-biasa kalau itu dapat melebihkan masa kita berjumpa Allah berbanding orang sibuk yang sukar mencari masa hatta memenuhkan solat yang lima sekalipun.



--- Apalah sangat kita berfikir tentang jodoh yang tak kunjung tiba malah dibandingkan pula dengan rakan-rakan yang sudah punya anak kalau bersendirian itu mampu melebihkan masa kita menambah amal pahala akhirat dengan lebih banyak tanpa perlu memikirkan tanggungjawab berkeluarga..



Allahu Allah...


Kalaulah kita mengambil ibrah kisah-kisah umat terdahulu. Kalaulah kita mengetahui hidup ini sekejap cuma. Kalaulah kita faham dalam-dalam mati itu bila-bila.


Dan....


Kalaulah kita hadam kemas-kemas amal baik kita masih belum mampu membantu kita mempercepatkan hisab kita di padang Mahsyar kelak...


Kalaulah kita sedar sungguh-sunguh banyaknya tuntutan manusia lain ke atas kita di padang Mahsyar kelak atas hutang kita yang tertangguh dan tidak berbayar, atas sifat kita yang suka mengadu domba, atas lidah kita yang tidak pernah berhenti menyebut perihal manusia sekeliling...atas tanggungjawab kita kepada umat Islam yang ditindas di seluruh dunia tapi kita sibuk memikirkan hal kita cuma.


---Sentap
---Makan dalam
---Berubah wajah



Rasalah apa pun, tapi semuanya tak bermakna kalau tak membawa kepada apa-apa perubahan kebaikan. Rasa dah ada..berubahnya 'nanti-nanti'.


Kata orang bijak pandai :


"Bukan sedikit manusia yang tenggelam dalam lautan 'nanti' itu. Bahkan ada yang sehingga makan, tidur dan berumah di dalamnya. Mereka mempunyai idea dan buah fikiran yang bagus-bagus namun disebabkan perkataan 'nanti' itu, mereka selalu tertangguh!"


Bertangguhlah dalam melakukan kejahatan dan bersegeralah dalam kebaikan.


Allahu Allah..

Jadikanlah setiap kejadian yang menimpa kita ini sebagai sesuatu yang baik. Fokus ke arah perjalanan hidup kita. 


--- Jika kita seorang pelajar, belajarlah bersungguh dengan niat kerana Allah. Disiplinkan diri mulai saat ini. Lihat saja tokoh Islam terdahulu tidurnya sedikit. Hari-harinya dihabiskan dengan dakwah biarpun terpaksa berjalan beratus-ratus batu. Asalkan masanya terisi dengan majlis ilmu, tidak pernah terasa letih dan penat. 


--- Jika kita seorang pekerja, lakukan kerja dengan penuh semangat. Biarpun susah, biarpun kita diherdik atau dicaci, asalkan rezeki kita berkat..teruskan bekerja dengan penuh semangat! Senyum, dan teruskan hari-harimu



--- Jika kita seorang anak, berbaktilah kepada ibu dan bapa. Biarpun seberat mana hati ini menanggung kepayahan membahagikan masa sehingga menjadikan kita letih, asalkan redha Allah kita peroleh dari redha ibu bapa, apa lagi yang kita mahukan bila Allah memandang kita dengan penuh kasih sayang?



Apa pun sahaja yang kita lalui sekarang,, teruskan berjalan ke hadapan. Melangkahlah dengan penuh azam, semangat dan hadapi penuh tenang segala cabaran dan dugaan yang mendatang.



Kerana hidup di dunia itu cuma sepintas sahaja...



Bila terasa lelah, ingatlah hidup ini persiapan menuju kematian. Persiapkan diri menuju syurga Allah. Sebaik-baik tempat yang kamu boleh minta apa sahaja setelah kamu tinggalkan ia di dunia demi semata mengejar cinta Allah.




Hidup kita tak lama...





Jari Kecil
3 Jun 2014, Selasa
2 Pagi

No comments: