Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang,
Ilmu yang dikongsikan ini adalah hasil daripada menonton slot "Kuliah Solat" di Tv al-Hijrah dan ditambah sedikit mengikut ilmu yang saya ada. Moga bermanfaat InsyaAllah.
PENTINGNYA MEMAHAMI AYAT-AYAT AL-QURAN
Kita sering bertanya kepada orang, "berapa kali awak dah khatam Al-Quran?" dan kita sering memasang "target" untuk khatam Al-Quran beberapa kali dalam sebulan, setahun dan sebagainya. Tapi kita lupa, mehamami Al-Quran itu sangat penting.
Sebagaimana kata Ibnu Qayyim:
"Membaca satu ayat dengan tafakur dan memahami bersungguh-sungguh lebih baik daripada membaca satu kali khatam tanpa memahaminya"
Bahkan Allah sendiri pernah menyuruh Rasulullah s.a.w supaya membaca Al-Quran dengan cara "slow n steady".
Allah bersabda dalam surah Al-Qiyamah ayat 16:
"Janganlah engkau (Muhammad) gerakkan lidahmu (untuk membaca Al-Quran) kerana hendak cepat-cepat menguasainya"
Bacalah Al-Quran dengan tajwid yang betul dan fahamilah apa yang dibaca. Fenomena kebanyakan umat Islam sekarang kerap berpegang kepada ayat "Tak faham tak mengapa, yang penting baca Al-Quran". Betul, yang penting kita baca Al-Quran tapi bukan memegang ayat "Tak faham tak mengapa". Jangan! Takut-takut kita ini berada dalam satu golongan yang disebut dalam satu Hadith riwayat Al Bukhari dan Muslim
"...Akan keluar di akhir zaman suatu kaum yang muda-muda umurnya, pendek akalnya. Mereka mengatakan ucapan sebaik-baik manusia. Mereka membaca Al-Quran tetapi tidak melewati kerongkongan mereka......"
Melewati kerongkongan bermaksud bacaan Al-Quran itu tidak sampai ke hati. Apa yang dibaca hanya sekadar bacaan. Sepertimana burung kakak tua yang mengikut-ikut cara percakapan tuannya tanpa memahami apa yang diperkatakan. Dalam Al-Quran itu mengandungi ilmu dan pengajaran bagi sesiapa yang memahami dan mengamalkan. Baca tanpa memahami adalah sia-sia.
Sebagaimana kata Mu'az bin Jabal (dari riwayat Ad-Darimy)
"Al-Quran akan usang di dalam dada beberapa kaum sebagaimana usangnya pakaian...Mereka berlumba membacanya, namun mereka tidak merasa nikmat dan lazat membacanya. Amalan mereka hanyalah ketamakan"
Tamak dalam beramal adalah dengan cara berlumba-lumba mengejar kuantiti bacaan Al-Quran dalam sehari/sebulan/setahun. Banyak kuantiti tetapi tiada kualiti. Biarlah kita menjadi sesuatu yang berkualiti walaupun bacaannya tidak mencecah puluhan kali khatam Al-Quran. Membaca Al-Quran biarlah ada peningkatan. Dari tidak rajin/tidak tahu membaca, kita rajin/tahu membaca. Dari tahu membaca, kita perbetulkan bacaan dengan tajwid yang betul. Dari tajwid yang betul, fahamilah apa yang dibaca kemudian amalkan.
Analoginya, waktu kecil kita dididik untuk belajar mengenal huruf, bermula dengan A,B, C hingga ke huruf Z. Selesai mengenal huruf, kita disuruh membunyikan huruf dengan pergabungan beberapa huruf seperti "MA" "PA" "DA" . Selepas itu kita mula boleh membaca satu perkataan,satu ayat, satu muka-surat hinggalah habis satu buku. Bila sudah pandai membaca, pelbagai perkara dapat difahami. Masuk pula ke sekolah rendah, sekolah menengah, dan universiti. Dari perkara asas, ilmu bertambah kepada perkara lebih mendalam dan akhirnya lahirlah seorang doktor, peguam, ustaz, ustazah..dan pelbagai pekerjaan. Dengan peningkatan dan pemahaman ilmu, kita menjadi orang yang lebih baik. Bahkan, untuk mengejar kenaikan pangkat, kita perlu menjalani peperiksaan untuk menguji kefahaman, atau mengambil kelulusan pendidikan yang lebih tinggi.
Andaikan, kita hanya belajar mengenal huruf A,B,C...Z tanpa sebarang peningkatan dan penambahan ilmu, adakah kita boleh menjadi apa yang kita jadi sekarang? Seorang doktor tidak lahir hanya dengan mengetahui huruf A, B dan C sahaja. Seorang ustaz tidak mampu mengajar anak muridnya jika dia tidak memahami dan menambah ilmunya.
Sama seperti Al-Quran. Jika kita hanya tahu membaca tapi tidak langsung memahaminya, bagaimana Al-Quran itu dapat menjadikan kita Muslim/Muslimat yang lebih baik?
Kalau dalam bidang pekerjaan, kita sering merungut "tiada kenaikan gaji" walaupun sudah 5-6 tahun bekerja, kenapa pula kita mampu berlapang dada bila "tiada kenaikan/peningkatan dalam bacaan Al Quran" walaupun sudah berpuluh-puluh tahun kita hidup?
Jom fahami isi kandungan Al-Quran untuk menjadikan kita muslim/muslimat terbaik! InsyaAllah. Bukan "takk faham tak apa, yang penting baca" tapi "2 muka surat pun takpelah, yang penting faham!"
Ayat yang paling terkesan pada saya dalam kuliah solat yang disampaikan adalah apabila beliau mengatakan :
"Jangan tanya berapa kali kita boleh khatam Quran pada bulan ini, tahun ini. Tanyakan pada diri kita, berapa kali kita menangis ketika membaca Al-Quran"
"Berapa kali kita menangis ketika membaca Al-Quran" .Soalan yang mampu membuat kita terdiam dan berfikir. Mungkin sekali, mungkin 2 kali atau mungkin kita tertanya-tanya "Ada ke aku menangis bila baca Al-Quran?"
Betul, Islam itu Mudah, Tapi Jangan Mengambil Mudah!
Wallahua'lam
p/s : Cuba check , Al-Quran kita dah berhabuk tak? Bacalah :)
NOTES : Kita boleh nampak mudah keislaman seseorang, (solat, puasa, etc) tapi kita takkan dapat tau nilai keimanan seseorang.
Sekian
Jari Kecil
14 Mac 2013, Ahad
12.20 tgh malam
No comments:
Post a Comment